Monday, July 5, 2010

TIADA SEINDAH KALAM-MU...

Ya Allah jadikan al-Quran teman kami bermain...

Selaku orang yang berada dalam lapangan al-Quran, saya seringkali terfikir mampukah saya memegang kalam Allah ini? Bukan mudah bagai dikata...

Al-Quran itu seumpama kekasih. Mungkin itulah tamsilan mudah untuk menerangkan perkaitan al-Quran dalam kehidupan kita seharian. Ternyata, apabila sesuatu itu menjadi kekasih hati kita, maka pelbagai cara menzahirkan rasa cinta yang begitu mendalam dalam apa jua bentuk dan cara sekalipun. Dan sememangnya jika kita bercinta dengan sesuatu kita mengharap cinta kita tidak bertepuk sebelah tangan! Dari itu mari kita merenung sejauh mana hati kita benar-benar telah mencintai al-Quran, kalam Allah Yang Maha Agung.

1. Kekasih yang terlalu istimewa
    Sekeping warkah daripada orang yang kita  cintai, pasti akan ditatap sepuas-puasnya malah berulang kali dibaca. Namun, hakikatnya akan timbul juga rasa jemu kelak. Berbanding dengan al-Quran, biarpun kita membacanya berulang kali, tidak sedikitpun kita akan berasa jemu apatah lagi membencinya. Allah berfirman yang maksudnya:
 
     "'(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah'. Ketahuilah dengan 'zikrullah' itu, tenang tenteramlah hati manusia." (ar-Ra'du : 28)

       Malah dijanjikan oleh Allah sesiapa yang ikhlas mengharap keredhaan Allah dengan membanyakkan zikrullah (mengingati mati) maka dia akan memperolehi ketenangan yang membahagiakan. Dan zikrullah yang paling afdhal (terbaik) itu ialah membaca al-Quran.

2. Kekasih yang perlu dimuliakan
    Al-Quran juga merupakan kekasih yang perlu dimuliakan kerana sifatnya yang berkat dan banyak manfaatnya. Dengan itu Allah telah menyeru kita agar mematuhi kandungan kekasih ini kerana dengan itu kita akan memperoleh keberkatan daripada-Nya. Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:

  "Dan ini sebuah kitab (al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat." (Al-An'am : 155)

3. Kekasih yang setia
    Kesetiaan dalam percintaan adalah jaminan kebahagiaan hati. Begitulah juga seandainya kita menjalinkan cinta bersama al-Quran. Namun begitu, orang yang bercinta dengan al-Quran akan sentiasa mengukur kesetiaan dirinya terhadap al-Quran. Lalu apakah indikasinya (ukurannya)?
    Bukankah qiamullail adalah satu indikasi dan pengukur yang paling relevan? Ini kerana kesukaran untuk menunaikan ibadah pada malam hari dengan tidur yang sedikit itu menggambarkan pengorbanan.
    At-Tabrani meriwayatkan daripada al-Sahl bin Sa'ad r.a. daripada Rasulullah s.a.w. Sabda baginda;

    "Kemuliaan seorang mukmin ialah qiamullail (bangun pada waktu malam untuk beribadat)."

    Baginda juga menceritakan tentang kelebihan dan ganjaran yang diperolehi seseorang yang berqiamullail dan membaca al-Quran. Sabda baginda:

    "Sesiapa yang melakukan qiamullail dengan membaca sepuluh ayat, dia tidak tertulis daripada kalangan orang-orang yang lalai. Sesiapa yang melakukan qiamullail dengan membaca seratus ayat akan ditulis daripada kalangan orang yang beribadat. Sesiapa yang melakukan qiamullail dengan membaca seribu ayat akan itulis daripada kalangan orang yang berlaku adil." (Riwayat Abu Daud)

4. Kekasih yang perlu dibelai sentiasa
    Kekasih yang perlukan belaian bermaksud kita perlu menjaganya dan sentiasa mendampinginya. Dari itu, Rasulullah s.a.w. sering beri amaran dan memerintahkan agar umatnya menjaga al-Quran dan tidak melupakannya.

    Daripada Anas bin Malik r.a katanya : Rasulullah bersabda :

    "Dibentangkan kepadaku pahala umatku, sehingga pahala hasil perbuatan seseorang yang membuang  kotoran daripada masjid. Dibentangkan juga kepadaku dosa-dosa umatku. Aku tidak dapati dosa yang lebih besar daripada satu surah atau satu ayat yang dikurniakan kepada seseorang kemudian dia melupakannya." (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

    Selain itu, kita membelai kekasih itu dengan sifat kita berlumba-lumba untuk membacanya pagi dan malam  malah berasa iri hati dengan "kegilaan" orang lain membaca Kalamullah itu.

    Dari Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :

    "Hasad (iri hati) itu tidak dibenarkan melainkan dalam dua perkara, seseorang yang dirahmati Allah dengan bacaan al-Quran dan terus berada dalam keadaan demikian siang dan malam dan seorang lagi yang dilimpahkan dengan harta yang banyak oleh Allah dan dia membelanjakannya siang dan malam".

Lantas, saya kembali menyoal diri..sudahkah saya menunaikan hak yang dikatakan 'kekasih' ini? Al-Quran itu boleh datang dan pergi..Selagi kita bersamanya, dia akan terus bersama kita..tapi sekali kita menjauhinya, amat sukar untuk merebut kembali cintanya...

No comments:

Post a Comment